A. TUNJANG BAHASA DAN KOMUNIKASI
Tunjang ini terdiri daripada Bahasa Malaysia, Bahasa
Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Bahasa Malaysia dan Bahasa Inngeris
adalah wajib dipelajari oleh semua kanak-kanak prasekolah. Bahasa Cina dan
Bahasa Tamil dipelajari oleh kanak-kanak di prasekolah yang beraliran bahasa
Cina dan bahasa Tamil. Bahasa Malaysia perlu diajar selama dua jam seminggu,
manakala Bahasa Inggeris diajar selama dua jam seminggu di prasekolah yang
bahasa pengantarnya Bahasa Malaysia dan satu jam seminggu di prasekolah yang bahasa
pengantarnya bukan Bahasa Malaysia.
Fokus utama Tunjang Komunikasi adalah Kemahiran Bahasa dan
Seni Bahasa. Kemahiran Bahasa merangkumi kemahiran mendengar, kemahiran
bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Bahan yang digunakan perlu
sesuai dengan peringkat perkembangan kanak-kanak. Seni Bahasa merujuk kepada
keupayaan murid mengungkap keindahan bahasa melalui kepelbagaian aktiviti dan
permainan bahasa seperti drama dan sajak.
B. TUNJANG KEROHANIAN,SIKAP DAN NILAI
Tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai merangkumi
pendidikan Islam dan Pendidikan Moral. Pendidikan Islam dipelajari oleh murid
beragama Islam selama dua jam seminggu. Pendidikan Moral dipelajari oleh murid
lain selama dua jam seminggu.
i. Pendidikan Islam
Pendidikan Islam memberi pengetahuan dan kemahiran asas
tentang Rukun Iman, Rukun Islam, Sirah Rasulullah dan Kalimah Syahadah.
Kanak-kanak prasekolah belajar bersuci, berwuduk, melakukan pergerakan solat,
mencontohi beberapa akhlak Rasulullah dan melakukan amalan harian mengikut
adab. Pada masa yang sama, kanak-kanak ini juga mengenal asas bahasa Al-Quran,
huruf hijaiyah dan Jawi serta menghafaz beberapa surah pendek doa pilihan.
Pengajaran dan pembelajaran pendidikan Islam dijalankan melalui aktiviti
seperti bercerita, simulasi, menyanyi, bernasyid, aktiviti hands-on,
meneroka dan bermain.
ii. Pendidikan Moral
Pendidikan Moral prasekolah memberi fokus kepada perlakuan
moral yang dipupuk secara berterusan sepanjang masa murid berada di prasekolah.
Pendidikan moral tidak dijalankan melalui aktiviti yang spesifik tetapi
diterapkan melalui kesemua aktiviti yang dijalankan dalam prasekolah.
Nilai-nilai murni Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan adalah seperti
berikut: kepercayaan kepada Tuhan, baik hati, bertanggungjawab, berterima
kasih, hemah tinggi, hormat menghormati, kasih sayang, keadilan, keberanian,
kejujuran, kerajinan, kerjasama, kesederhanaa, toleransi, berdikari dan
berdisiplin.
C. TUNJANG KETRAMPILAN DIRI
Pendidikan Prasekolah memberi penekanan kepada
perkembangan sosioemosi kanak-kanak. Kanak-kanak akan menghadapi masalah di
prasekolah dan juga di sekolah rendah kelak jika sosioemosi merangkumi aspek
mengenali dan pengurusan emosi sendiri, pencapaian emosi yang positif,
pembinaan konsep kendiri yang positif serta pembinaan kemahiran berinteraksi
dan kemahiran sosial. Perkembangan sosioemosi berlaku sepanjang masa
kanak-kanak berada di prasekolah, ia tidak dicapai melalui aktiviti spesifik
tetapi menerusi kesemua aktiviti sama ada aktiviti rutin, semasa rehat, semasa
makan dan juga aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lain.
D. TUNJANG FIZIKAL DAN ESTETIKA
Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika merangkumi
Perkembangan Fizikal dan Penjagaan Kesihatan serta Perkembangan Kreativiti.
i. Perkembangan Fizikal dan Penjagaan Kesihatan
Kanak-kanak pada peringkat prasekolah memerlukan aktiviti
yang menguatkan kawalan otot mereka. Aspek perkembangan fizikal adalah amat
penting di prasekolah kerana tanpa perkembangan fizikal yang mantap,
kanak-kanak akan menghadapi masalah dalam melakukan aktiviti seperti memegang
pensel atau berus untuk menulis dan melukis, penglibatan dalam aktiviti sukan,
aktiviti memainkan peralatan muzik serta pengendalian peralatan. Pendidikan
prasekolah menyediakan peluang pembelajaran untuk meningkatkan kemahiran motor
halus, kemahiran motor kasar serta koordinasi mata-tangan di kalangan
kanak-kanak ini. Perkara yang dirangkumi termasuk teknik yang betul untuk
melompat, menyambut objek, membaling objek serta postur yang betul semasa
duduk.
Tunjang ini juga memberi penekanan kepada pembinaan amalan
penjagaan kesihatan fizikal diri, kebersihan persekitaran dan pemakanan yang
berkhasiat. Tabiat yang dibina akan memanfaatkan kanak-kanak ini sepanjang usia
mereka. Secara lazimnya kanak-kanak yang mempunyai badan yang sihat dapat
memberi tumpuan yang lebih baik kepada pembelajaran dan mempunyai konsep
kendiri yang positif.
Tunjang ini juga menekankan aspek keselamatan diri daripada
sumber yang mungkin menyebabkan kemalangan dan bahaya kepada diri mereka
termasuk langkah menjaga kehormatan diri.
ii. Perkembangan Kreativiti
Perkembangan kreativti merangkumi seni visual, pendidikan
muzik serta drama dan gerakan kreatif. Tunjang ini lebih menekankan proses
daripada produk. Kanak-kanak ini diberi peluang untuk menzahirkan idea mereka
secara kreatif dan melibatkan diri dalam aktiviti kreativiti.
Fokus seni visual adalah pada aplikasi seni, ekspresi
kreatif dan apreasiasi. Aplikasi seni merujuk kepada proses mengenal dan
memilih bahan yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu karya. Ekspresi
kreatif adalah proses penghasilan karya. Apreasiasi seni melibatkan proses
menceritakan hasil kerja sendiri dan juga menunjukkan penghargaan terhadap
keindahan persekitaran serta hasil kerja orang lain.
Pendidikan muzik merangkumi aktiviti menyanyi, pengalaman
awal untuk memainkan perkusi, penghasilan muzik menerusi bahan atau objek
improvisasi, dan apresiasi muzik.
Drama dan Gerakan Kreatif merangkumi aktiviti drama dan
gerakan kreatif di mana murid diberi peluang untuk main peranan, berlakon,
menari dan membuat gerakan secara kreatif.
Aktiviti tunjang ini bukan sahaja digunakan untuk
meningkatkan daya kreativiti tetapi juga digunakan untuk mencapai objektif
pembelajaran tunjang lain. Aktiviti menyanyi dan pergerakan kreatif sentiasa
digunakan semasa pembelajaran bahasa, matematik dan lain-lain.
E. TUNJANG SAINS DAN TEKNOLOGI
A. Tunjang Sains dan Teknologi
Tunjang Sains dan Teknologi merangkumi awal sains, awal
matematik, aktiviti pembinaan menggunakan objek seperti blok dan penggunaan
ICT.
i. Awal Sains
Awal Sains menyediakan peluang kepada kanak-kanak untuk
meneroka alam sekitar mereka menggunakan organ deria dan peralatan mudah. Dalam
proses penerokaan ini, sikap saintifik yang positif seperti sifat ingin tahu,
sistematik dan teliti akan terbentuk. Semasa proses penerokaan ini, kemahiran
asas proses sains seperti kemahiran memerhati, mengukur menggunakan unit bukan
piawai, membanding dan mengelas juga akan dikembangkan. Penerokaan dijalankan
ke atas alam hidupan (contoh: tumbuhan, haiwan), alam
bahan (contoh: objek yang tenggelam dan timbul, air, magnet)
dan alam fizikal (contoh: pelangi, cuaca). Tunjang ini lebih mementingkan
penguasaan kemahiran daripada pemerolehan pengetahuan. Guru perlu bersikap
terbuka terhadap pandangan dan dapatan daripada hasil penerokaan murid.
Awal Sains menyediakan peluang kepada kanak-kanak empat
hingga enam tahun untuk membuat pembinaan menggunakan objek seperti blok.
Aktiviti pembinaan ini bukan sahaja memberi peluang kepada kanak-kanak untuk
mempelajari konsep penghubung, lingkungan serta awal matematik tetapi untuk
meningkatkan daya kreativiti murid dan kemahiran motor halus.
ii. Awal Matematik
Awal Matematik membekalkan pengalaman awal matematik kepada
kanak-kanak ini. Pengalaman ini termasuk konsep pranombor, nombor, operasi
nombor yang mudah, nilai wang, konsep waktu, bentuk dan ruang. Konsep matematik
ini dipelajari pada masa yang khas dan juga disepadukan ke dalam semua
aktiviti pembelajaran bertema menggunakan kaedah yang menyeronokkan.
Tunjang Sains dan Teknologi juga menyediakan peluang kepada
kanak-kanak menggunakan komputer untuk melakukan tugasan tertentu. Penggunaan
komputer adalah di tahap kemahiran asas sahaja.
F. TUNJANG KEMANUSIAAN
Tunjang Kemanusiaan memberi peluang kepada kanak-kanak
supaya lebih memahami diri sendiri, lebih memahami perhubungan antara diri
dengan keluarga, rakan, komuniti dan alam sekitar. Kanak-kanak juga akan lebih
memahami tanggungjawab diri dalam perhubungan-perhubungan ini. Tunjang ini juga
memberi penekanan kepada pemahaman budaya dan tradisi pelbagai kaum di Malaysia
serta menggalakkan penglibatan dalam perayaan pelbagai kaum ini.
Tunjang Kemanusiaan menggariskan skop dan konteks
pembelajaran di prasekolah. Kandungan dalam tunjang ini boleh digunakan untuk
memberi tema-tema pembelajaran.
Sila tinggalkan komen anda di sini. Terima Kasih
cikgu adrian...tahniah ! banyak info di blog yang canti dan berimaginasi ini....teruskan usaha gigih cikgu!
ReplyDelete